Wednesday, August 10, 2011

TERBONGKARNYA RAHSIA

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

TERBONGKARNYA RAHSIA

Al-Qur'an sudah bersedia untuk dikaji dan dibongkar rahsianya oleh manusia semua zaman. Sebenarnya Al-Qur'an mempunyai isi kandungan yang jauh lebih 'advance' dari ilmu pengetahuan yang ada pada manusia di satu-satu zaman. Sudah banyak penemuan-penemuan manusia di berbagai bidang terutamanya sains, perubatan dan astronomi yang akhirnya bila dirujuk Al-Qur'an, ianya telah termaktub, tapi sebelum ini maksud ayat tersebut kurang diselidiki oleh yang membacanya.

ALLAH TETAP MEMELIHARA AL-QUR'AN

Sebenarnya sebagai Muslim, kita sepatutnya mendahului dalam segala kajian kerana pada kita ada kitab yang benar (Al-Qur'an). Ianya adalah kitab dari sisi Allah, Tuhan yang menjadikan alam ini. Ia bukan ciptaan tangan manusia. Ia tetap dipelihara oleh Allah dan tidak akan dapat diubah sebagaimana yang telah dilakukan oleh ahli-ahli kitab Yahudi dan Nasrani terhadap Taurat dan Injil.

Bagaimanakah untuk kita faham bahawa Al-Qur'an itu tetap terpelihara? Pada pendapat saya, buktinya ialah pada setiap zaman Allah akan mengajarkan kepada hamba-hambaNya yang terpilih berbagai ilmu dari Al-Qur'an dengan berbagai cara pula, dan mereka ini tersebar di serata pelusuk dunia. Sebarang bentuk penyelewengan akan ditentang oleh mereka ini kerana mereka ada bukti-bukti khas yang unik dan tersendiri. Mereka ini diberikan kekuatan oleh Allah untuk melakukan sesuatu, agar berita itu dapat disebarkan dan menjadi khazanah kepada dunia Islam. Dipendekkan kata, pada setiap zaman memang akan tetap ada AL-QUR'AN YANG TERPELIHARA.

SELURUH AL-QUR'AN TURUN SECARA TAUQIFI

Lihatlah bagaimana keadaannya Al-Qur'an itu mula diwahyukan. Wahyu Allah yang disampaikan menerusi lidah Jibril a.s. itu didengari oleh Rasulullah, lantas dihafal dan kemudian baginda segera membacakannya kepada para sahabat terutamanya Zaid bin Tsabit untuk ditulis. Lembarannya pada ketika itu adalah kulit binatang, pelepah kurma, atau lain-lain. Semua wahyu dikumpulkan dalam bentuk tulisan dan dihafal oleh para sahabat yang terpercaya sejak dari turunnya wahyu pertama hinggalah wahyu terakhir. Rasulullah s.a.w. bukan hanya diajarkan wahyu-wahyu oleh Jibril. Baginda juga diajarkan ayat ke berapakah itu dan ianya berada di surah mana. Susunan surah pun diajarkan oleh Jibril a.s., malah Jibril a.s. juga mengajarkan cara mengeja sesuatu perkataan yang ada dalam ayat-ayat tertentu. Dalam ertikata lain, seluruh isi Al-Qur'an itu adalah taufiqi.

Berapa kerapkah Jibril a.s. turun bertemu Rasulullah s.a.w.? Ada pendapat menyatakan 24,000 kali, ada pendapat menyatakan 124,000 kali dalam tempoh 23 tahun itu. Kalau kita ambil masa sedikit untuk mengira berapa harikah 23 tahun Hijrah, kita akan dapati ia adalah 23*354 = 8142 hari. Kalau Jibril a.s. turun sebanyak 24,000 kali, maknanya dalam sehari, Jibril bertemu Rasulullah purata 3 kali. Kalau 124,000 kali pula, satu hari purata 15 kali. Katakan purata hanya 3 kali saja Jibril turun dalam sehari, banyak sebenarnya yang telah diajarkannya kepada Rasulullah s.a.w. termasuklah Hadis Qudsi, cara Syahadah, Solat, Puasa, Zakat, Haji dan sebagainya lagi yang ada dalam Rukun Islam dan Rukun Iman. Wallahua'lam.

Adalah patut bagi setiap Muslim mendekati Al-Qur'an bukan saja untuk membacanya sebagaimana biasa (bertajwid dan berlagu) tapi untuk merenungkan ayat-ayatnya, berfikir, mengkaji, dan menemukan sesuatu untuk faedah umat Islam dan manusia sejagat.

MEMBANGUNKAN ENJIN MENGKAJI AL-QUR'AN

Di sini saya paparkan salah satu enjin yang telah saya bangunkan (menggunakan Excel) untuk mengkaji Al-Fatihah dari sudut Kedudukan Huruf dan Angka Mufradnya. Saya telah bangunkan berbagai jenis enjin juga untuk tujuan mengkaji Al-Qur'an menggunakan aspek yang berbeza-beza pula. Untuk kali ini saya paparkan saja dulu Jadual berikut untuk anda teliti, sebab selepas artikel ini saya mungkin banyak gunakan Jadual berikut untuk beri penjelasan:

Al-Fatihah itu mempunyai 141 Huruf, dan dengan itu Alhamdulillah dapatlah saya masukkan kesemua huruf itu ke dalam jadual 47 x 3. Anda perlu baca dari atas, iaitu dari kanan ke kiri (serupa seperti membaca Surah Al-Fatihah dalam bahasa Arab). Kemudian pergi ke baris kedua, baca dari kanan ke kiri juga, hinggalah habis baris ketiga.

Berikut ini pula adalah Jadual Kajian yang saya maksudkan. Saya tidak masukkan penerangan di atas itu di kiri atau kanan jadual untuk mengelakkan imej jadi terlalu lebar. Saya berharap semoga anda dapat cepat memahami Jadual berikut kerana ia punya cukup banyak maklumat sebenarnya.
Dari Jadual di atas, anda dapat perhatikan bahawa Surah Al-Fatihah itu sebenarnya AMAT SEIMBANG. Al-Fatihah juga dinamakan Surah Mizan atau Surah Neraca. Dari sudut Matematik juga ianya amat seimbang seolah-olah seperti neraca. Lihatlah, dari 141 Huruf, 71 dari hurufnya adalah dari JENIS MUFRAD GANJIL, 70 adalah dari JENIS MUFRAD GENAP. Ianya SAMA BANYAK. Bagaimana lagi untuk menyatakan sama banyak bagi jumlah yang ganjil seperti 141? Subhanallah. Mampukah manusia meniru Al-Fatihah?

KESIMPULAN

Kepada orang-orang kafir, janganlah menganggap mudah untuk meniru hatta satu ayat pun dari Al-Qur'an. Panggillah genius mana pun dan wujudkanlah satu 'task-force'. Semakin genius dia, semakin dia tahu bahawa kerja untuk meniru ayat Al-Qur'an adalah mustahil!

Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم



No comments:

Post a Comment