Wednesday, August 10, 2011

ANTARA YANG HAQ DAN BATIL

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ANTARA YANG HAQ DAN BATIL

Al-Qur'an adalah kitab yang benar dari sisi Allah. Ia adalah ibarat cahaya yang menerangi kegelapan. Ia adalah Al-Furqan, yang membezakan dengan jelas apakah itu kebenaran (haq) dan apakah itu kebatilan. Dalam Al-Qur'an terdapat cukup banyak ayat-ayat yang menyentuh mengenai ilmu pengetahuan dan mengajarkan kepada manusia bahawa Allah Maha Berilmu dan amat mendalam pengetahuanNya meliputi segala sesuatu. Jika anda selalu membaca Al-Qur'an, anda akan dapati bahawa hampir semua surah dalam Al-Qur'an ada menyentuh tentang ilmu pengetahuan. Ini sekaligus membuktikan bahawa Islam adalah agama yang mementingkan ilmu pengetahuan dalam segala aspek kehidupan. Amat rugilah jika seseorang Muslim itu menjauhkan diri dari berusaha menuntut ilmu yang bermanfaat.

PEMBEZA ANTARA YANG HAQ DAN YANG BATIL

Dalam artikel kali ini saya salinkan beberapa maksud ayat Al-Qur'an yang menunjukkan bagaimana Allah mendidik umat Islam untuk membezakan antara perkara-perkara yang dijadikanNya berpasang-pasang sesuai dengan maksud firmanNya:
Yasin 036:36. Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
Berikut adalah mafhum firman Allah yang menyentuh mengenai perbezaan antara dua perkara yang dipasang-pasangkan. Semoga direnungkan:

Ali-’Imran 003:113. Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

An-Nisa’ 004:95. Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar,

Hud 011:24. Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar, kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?

As-Sajdah 032:18. (Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).

Fatir 035:12. Dan tidaklah sama keadaan dua laut (sekalipun satu jenisnya), yang satu tawar lagi memuaskan dahaga serta sesuai diminum, sementara yang satu lagi masin lagi pahit dan (kedua-duanya itu berfaedah kepada kamu): Dari tiap-tiap satunya kamu dapat makan daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula kamu mengeluarkan benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya, (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal membelah air belayar padanya, (diadakan semuanya itu) supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan supaya kamu bersyukur.

Fatir 035:19. Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat.
Fatir 035:20. Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang,
Fatir 035:21. Dan tidaklah sama suasana yang teduh dengan yang kencang panasnya.
Fatir 035:22. Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).

Ghafir 040:58. Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.

Fussilat 041:34. Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Al-Hadid 057:10. Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda kamu pada jalan Allah? Padahal Allah jualah yang mewarisi langit dan bumi (serta segala isinya). Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.

Al-Hasyr 059:20. Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga, ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).

MENJELASKAN HAKIKAT TAUHID

Malah, Allah mendidik manusia untuk membezakan apakah itu yang dikatakan Tauhid (mengesakan Allah) melalui maksud firmanNya:

Az-Zumar 039:29. Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang sahaja, adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: Alhamdulillah (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).
Al-Ikhlas 112:1-4. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Semoga Allah merahmati kita semua dan sentiasa membimbing kita ke jalanNya yang lurus. Sesungguhnya tanpa bimbingan dan rahmatNya tentulah kita akan berada dalam kegelapan yang tertutup rapat.
Wassalam.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


No comments:

Post a Comment