Wednesday, August 10, 2011

KAYA DAN MURAH REZEKI

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

KAYA DAN MURAH REZEKI

Allah Maha Kaya. Dengan sifatNya itu, Dia mengurniakan sesiapa saja hambaNya yang dikehendakiNya rezeki dan kekayaan yang melimpah ruah dan tiada siapa yang mampu untuk membatasinya. Saya menulis artikel ini untuk bacaan dan amalan anda dan diri saya sendiri. Saya fokus kepada fadhilat Surah Al-Waqi'ah. Mudah-mudahan dengan adanya artikel ini kita semua akan tergolong kepada hamba-hamba yang diredhaiNya.

Mungkin yang antara cara terbaik untuk saya mulakan catatan ini ialah merakamkan mafhum firman Allah dalam Ayat Seribu Dinar:

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Talaq 065:2-3)

YANG PATUT DIKETAHUI TENTANG REZEKI

Apa yang patut kita ketahui berkaitan dengan rezeki bolehlah dirangkumkan kepada 6 perkara iaitu (1) Bahawa Allah pemberi rezeki kepada makhlukNya (2) Allah membahagi rezeki di dalam kehidupan (3) Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya (4) Allah perintahkan agar manusia berusaha mencari rezeki (5) Allah mengajarkan jalan-jalan mencari rezeki (6) Allah adalah pusat permohonan rezeki.

Mafhum firman Allah: "(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji." (Surah Fatir 035:15).

FADHILAT SURAH AL-WAQI'AH

Jika kita ingin dihindarkan dari kefakiran dan kesulitan rezeki, eloklah membaca Surah Al-Waqi'ah pada setiap malam sebagai wirid. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Barangsiapa membaca Surah Waqia'h setiap malam maka tidak akan tertimpa kesulitan selamanya" - (Sa'd Al Mufti mengatakan ini adalah hadis sahih).

Dalam hadis lain ada disebutkan bahawa Surah Al-Waqi'ah merupakan salah satu surah yang menjadi sebab seseorang mendapat kecukupan rezeki jika selalu membacanya. Menurut hadis riwayat Abu Ubaid, Al Harith, Abu Ya'la, Ibnu Murdawaih dan Al-Baihaqi dari Ibnu Mas'ud r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa membaca Surah Al-Waqi'ah setiap malam maka tidak akan tertimpa kemiskinan, dan Surah Al-Waqi'ah itu merupakan surah yang menyebabkan kecukupan bagi pembacanya, maka bacalah dan ajarkanlah kepada anak-anakmu."

AMALAN HAJAT MEMOHON REZEKI

Menurut para ulama', terdapat beberapa cara amalan sebagai hajat memohon rezeki dari Allah, sebagaimana berikut:

1) Sesiapa yang membaca Surah Al-Waqi'ah sebanyak 41 kali dalam satu majlis, maka Allah akan mendatangkan hajatnya, terutamanya dalam urusan rezeki (tersebut dalam Khawasul Qur'an).

2) Sesiapa yang membaca Surah Al-Waqi'ah sesudah solat 'Asar sebanyak 14 kali dalam satu majlis maka didatangkan hajatnya, terutama keperluan rezeki. Ia dikatakan amalan yang mujarab.

3) Amalan mewiridkan Surah Al-Waqi'ah. Baca Surah AlWaqi'ah selama 40 hari berturut-turut, jangan terputus. Pada setiap hari baca 40 kali. Allah akan memberi keluasan rezeki yang tidak terbatas lantaran berkat surah Al-Waqi'ah, insyaAllah.

4) Baca Surah Al-Waqi'ah setiap selesai solat Isya' dan Subuh sebanyak 3 kali. Allah akan memberikan kekayaan dan melimpahkan rezeki yang tidak terbatas, insyaAllah.

5) Ada satu cara mustajab agar kita diberikan kekayaan secara mendadak oleh Allah berkat amalan riadhat (tirakat) aurad Surah Al-Waqi'ah. Cara melakukan riadhat ialah:
Puasa selama 7 hari bermula hari Juma'at
Selesai solat fardhu baca Surah Al-Waqi'ah sebanyak 25 kali, diakhiri pada malam Juma'at.
Pada malam Juma'at penghabisan, baca Surah Al-Waqi'ah selepas Solat Maghrib sebanyak 25 kali. Kemudian lakukan ibadat amal hingga Isya'. Sesudah solat Isya' baca Surah Al-Waqiah 25 kali. Setelah itu baca lagi 100 kali. Diikuti membaca Selawat 1000 kali.
Sesudah itu, baca Surah Al-Waqi'ah sebagai wirid 1 kali sesudah solat Maghrib dan Subuh. Mudah-mudahan Allah akan kabulkan hajat kita.
Ada orang yang melakukan riadhat setelah menerima penjelasan dari Al-Wali Al-Arif As-Syeikh Ahmad Rashidi yang menerima ijazah dari Al-Wali Al-Arif Abil Abbas Al-Harisi berkata kepadanya: "Wahai Syeikh, saya telah mengajarkan riadhat Surah Al-Waqi'ah kepada beberapa orang, mereka melakukan riadhat tadi. Maka Allah memberikan kekayaan kepada mereka.."

LATARBELAKANG SURAH AL-WAQIAH

Ia adalah surah yang diturunkan di Makkah sesudah Surah Taha. Ia mengandungi 96 Ayat. Dinamakan Al-Waqi'ah (hari kiamat) sempena perkataan Al-Waqi'ah yang terdapat pada ayat pertama surah. Isi kandungannya ialah berkaitan dengan huruhara di waktu terjadinya kiamat, tentang Yaumul Hisab di mana manusia terbahagi kepada 3 golongan iaitu (1) yang bersegera menjalankan kebaikan (2) golongan kanan (3) golongan celaka. Ia juga berisi bantahan Allah terhadap orang yang mengingkari adanya Tuhan, hari berbangkit dan adanya hisab. Surah ini juga menyebut bahawa Al-Qur'an berasal dari Luh Mahfuz, serta gambaran mengenai syurga dan neraka.

ALLAH BERSUMPAH DENGAN KEMULIAAN AL-QUR'AN

Surah Al-Waqi'ah adalah antara surah yang mana Allah menyatakan sumpahNya mengenai kemuliaan Al-Qur'an, mafhumnya: "Maka Aku bersumpah dengan masa turunnya bahagian-bahagian Al-Qur'an. Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar kalau kamu mengetahui." (Surah Al-Waqi'ah 056:75-76). Kemudian ia disambung dengan ayat berikut, secara kebetulan pada malam sebelum ini saya telah menyediakan imej berikut untuk dipaparkan di Megasutra. Subhanallah:

"Sesungguhnya Al-Qur'an itu adalah bacaan yang sangat mulia. Pada kitab yang terpelihara (Luh Mahfuz). Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan semesta alam". (Surah Al-Waqi'ah 56:77-80)

.:: JUMLAH HURUF 55 : 999 JUMLAH ANGKA MUFRAD ::.

Kemudian Allah bertanya dengan firmanNya yang bermaksud: "Maka apakah kamu menganggap remeh saja Al-Qur'an ini?" (Surah Al-Waqi'ah 056:81)

Jika anda teliti Surah Al-Waqi'ah, ia fokus kepada berita ghaib masa hadapan, iaitu tentang kiamat, Yaumul Hisab, syurga dan neraka. Lantaran keyakinan kepada berita-berita ghaib yang belum berlaku ini, mudah-mudahan Allah akan mengurniakan rasa cukup dan kaya pada hati kita masing-masing dan hati kita tidak akan tersangkut pada segala kemewahan dan godaan dunia yang boleh menyebabkan kita lupa. Sesungguhnya sebenar-benar kaya itu ialah kaya hati.

KESIMPULAN

Sekiranya kita faham dan menginsafi bahawa Allah sajalah yang memberi rezeki, mungkin akan kuranglah rasa hasad dengki sesama kita dan kita akan lebih banyak bersyukur dan redha atas ketentuanNya.

Dalam Surah Al-Fatihah Allah berfirman maksudnya: "Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan." (Surah Al-Fatihah 001:5) Ini mengajarkan kepada kita tentang kepatuhan dan ketundukan yang timbul dari keinsafan tentang kebesaran Allah sebagai Tuhan yang disembah kerana kita berkeyakinan bahawa Allah mempunyai kekuasaan yang mutlak terhadap diri kita.

Sama-samalah kita bermohon kepadaNya, mudah-mudahan Dia akan mengurniakan kepada kita kekayaan dan kemurahan rezeki yang kita hajati itu agar ia jadi jalan untuk kita lebih bertakwa kepadaNya. Sesungguhnya susah dan senang semua itu adalah ujian belaka. Yang penting ialah apa saja yang Dia kurniakan kepada kita, mudah-mudahan Dia akan sentiasa meredhai kita.


Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


No comments:

Post a Comment