Tuesday, August 09, 2011

RAHSIA BERPASANG-PASANG DALAM AL-QUR’AN

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

RAHSIA BERPASANG-PASANG DALAM AL-QUR’AN

Al-Qur'an itu kitab yang benar. Ia kitab dari sisi Allah, bukan buku ciptaan manusia. Ia juga bukan ditulis oleh tangan manusia yang lalai lagi lupa. Ia juga bukan kitab yang telah diubah oleh tangan-tangan manusia yang punya kepentingan duniawi. Kitab Taurat dan Injil yang asal telah diubah oleh rahib dan paderi Yahudi dan Nasrani agar ianya sesuai dengan kehendak duniawi mereka.

Kitab suci Al-Qur'an tetap dipeliharaNya dengan caraNya yang tersendiri. Allah mengajarkan kepada hamba-hambaNya yang terpilih ilmu-ilmu yang berbagai-bagai dan Dia menganugerahkan pengetahuan yang berbeza aspeknya atau ruang-lingkupnya. Sekiranya ada saja pihak yang mahu mengubah Al-Qur'an, akan ada pula pihak yang akan menyedarinya, dan pihak yang menyedari itu adalah terdiri dari berbagai golongan, kepakaran serta kajian. 


Saya paparkan kepada anda beberapa maksud ayat suci Al-Qur'an yang mempunyai rahsia yang amat besar dari segi kajian dan bagaimana Allah memilih hamba-hambaNya agar menjadi saksi-saksi kebenaran Al-Qur'an dan kebenaran Islam:

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. (An-Nisa’ 004:82).

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya. (Al-Hijr 015:87).


Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara), yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah, Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. (Az-Zumar 039:23).

Maha Suci Allah. Dia telah mengajarkan ilmu Al-Qur'an ke dalam dada insan yang dipilihNya. Masing-masing memperolehi ilmu yang berbeza-beza di bidang yang berbeza-beza, malah cara mendapat ilmu itu pun berbeza-beza. Ada yang memperoleh secara ladunni (ilham terus dari Allah), dan ini tidak boleh kita nafikan, cuma ramai yang tidak faham dan kerana itu sukar untuk percaya berita-berita seperti itu. Kerana itulah juga, umat Islam patut bersatu di segenap pelusuk muka bumi untuk memertabatkan Islam dan memahami bahawa ilmu dalam Islam itu luas sebenarnya.

Sepatutnya diadakan satu yayasan untuk kajian ilmu-ilmu Al-Qur'an berkaitan teknologi dan ilmu-ilmu canggih yang di luar batasan fikiran manusia biasa. Sebenarnya ramai umat Islam yang telah Allah kurniakan ilmu-ilmu yang berbeza-beza ini pada zaman ini, pada saat ini, di serata dunia. Tapi mereka ini 'low-profile' dan lebih memilih untuk berahsia kerana apa yang penting bagi mereka ialah keredhaanNya semata-mata. Namun sebenarnya ilmu-ilmu yang seperti itu adalah untuk dikongsikan sesama Muslim, dan perlu ada satu pakatan kukuh untuk merealisasikannya dengan mengumpulkan insan-insan ini, malah perlu ada satu negara yang mengambil peranan itu. Saya sarankan Malaysia. Ada sebab mengapa saya catat sedemikian. Mereka yang punya ilmu-ilmu ini ditempatkan di suatu tempat dan mereka berbincang dan kongsikan apa yang mereka ketahui untuk menemukan sesuatu yang baru. Sesuatu yang baru itu banyak sebenarnya. Ia merangkumi hal-hal mengenai teknologi pertahanan, komunikasi, tenaga dan sebagainya lagi.

sebenarnya menghuraikan segala sesuatu, dan itu diketahui oleh sebahagian Muslim yang diberiNya ilmu. Janganlah terperanjat bila saya catat di sini bahawa segala buku yang ditulis oleh tangan manusia itu ada rahsianya dalam Al-Qur'an! Saya catat di sini kisah benar yang saya sendiri alami (terutamanya ahli-ahli agama, anda perlu teliti apa yang saya catat ini kerana ia mempunyai perkara-perkara tersirat):

Pada satu hari, saya bertemu mentor saya, seorang ustaz bekas Tokoh Maal Hijrah (peringkat negeri), bertanyakan berapa hurufkah sebenarnya Surah Al-Fatihah itu. Sebelum itu saya ada bertanya seorang imam (kebetulan dia ini bapa saudara sepupu pada saya) dan dari rujukannya beliau menyatakan bahawa jumlah hurufnya 141 (serupa jumlah dengan apa yang saya telah kaji). Ustaz itu minta tempoh pada saya. Setelah kira-kira sebulan berlalu, selepas memberi ceramah di surau tempat saya berjemaah dan selepas Isya', beliau membawakan 7 buah kitab yang akan menjawab pertanyaan saya. Saya duduk berhadapan dengannya, kami hanya berdua. Seorang imam lagi (kini sudah pulang ke rahmat Allah) menunggu saya di luar surau. Ustaz mentor saya pun membuka kitab pertama, dia lantas membacakan, bahawa dalam kitab muktabar bernama Tuhfah ada dinyatakan jumlah huruf Al-Fatihah ialah 141. Saya menjeling muka surat di mana catatan itu berada dalam kitab tersebut. Ianya TEPAT berada di muka 141.

Saya pun berkata pada ustaz "Ustaz, lihat muka surat itu, ianya muka 141. Angka 141 itu TEPAT jumlah huruf Al-Fatihah.." Ustaz diam saja. Kemudian dia membuka kitab kedua, dan membacakan lagi. Serupa juga, kitab itu merujuk kepada kitab muktabar Tuhfah, 141 huruf juga. Saya jeling lagi muka surat kitab itu pula. Ianya TEPAT 71.

Saya pun berkata kali kedua kepada ustaz "Ustaz, penerangan itu berada di muka 71. Sebenarnya 71 berada TEPAT di tengah-tengah 141 posisi, dan dalam Al-Fatihah, huruf ke 71 adalah huruf Alif". Kali ini ustaz memandang saya, tapi dia tetap diam. Saya pun berkata "Ustaz, itulah tanda kekuasaan Allah, untuk memudahkan kita mencari (buat rujukan)." Dia kemudiannya berkata "Cukuplah dua kitab itu saja (untuk dibacakan) kerana yang lain itu pun merujuk kepada Tuhfah."

Sejak itu, saya berpegang teguh bahawa Al-Fatihah itu mempunyai 141 huruf, saya sudah kaji Al-Fatihah sejak lama dulu dan ketika bertanya dengan ustaz itu, saya telah jumpa banyak perkara sebenarnya. Al-Fatihah itu termasuk Basmalah, dan Basmalah adalah ayat pertama dalam Al-Fatihah. Hanya ada satu saja lagi Basmalah yang berada dalam surah iaitu di Surah An-Naml 27:30. Selain dari dua tempat ini, Basmalah hanya menjadi tanda awal surah, melainkan untuk Surah At-Taubah (Surah 9). Mungkin ada yang tidak tahu, sebab itulah saya catat.

Memang patut juga saya catat bahawa Al-Qur'an itu rahsianya ada dalam Al-Fatihah, yang dinamakan Ibu Al-Qur'an. Sementara Al-Fatihah itu pula rahsianya terkandung dalam Basmalah, yang menjadi ayat pertamanya. Dan akhirnya, Basmalah itu rahsianya terkandung dalam huruf Ba, yang menjadi huruf pertama dalam Basmalah itu sendiri. Kalau anda rajin merujuk kitab, anda akan temui bahawa maksud Ba itu ialah: "Bi kaana ma kaana wabi yakuuna ma yakuun" maksudnya "Dengannya segala apa yang telah dijadikan dan dengannya segala apa yang akan dijadikan". Kalau anda hitung Angka Mufrad yang ada pada maksud Ba itu, anda akan dapati bahawa ianya ANGKA BERULANG 434. Subhanallah. 


Anda mungkin tidak nampak. Saya beri penerangan. Campurkan pula 4+3+4 anda akan dapat ANGKA BERULANG 11. Campurkan 1+1 anda akan dapat ANGKA 2. Lihatlah, angka 2 adalah ANGKA MUFRAD HURUF BA. Subhanallah. Rahsianya berbalik kepada Ba juga. Lihatlah kejituan hitungan Allah. Itulah antara BUKTI KEBENARAN ISLAM.

Al-Qur'an diturunkan dalam masa 22 tahun, 2 bulan, 22 hari. Anda dapat perhatikan bahawa ianya adalah ANGKA BERULANG 22.2.22. Biasanya kita akan katakan bahawa Al-Qur'an diturunkan selama 23 tahun. Kalau anda hitung semua Angka Mufrad 141 huruf Al-Fatihah, maka anda akan dapat jawapan ANGKA BERULANG 2323. Inilah bukti kejituan hitungan Allah. Lihat bahawa ianya adalah angka 23 yang dikembarkan. Lihatlah pula penemuan sains. Manusia ini mempunyai kromosom yang kembar iaitu 23:23. Tidak ada makhluk lain yang punya 23 kromosom. Adakah ini hanya 'kebetulan"? Berapa pula kecondongan paksi planet bumi (tempat di mana Al-Qur'an diturunkan)? Ianya 23 darjah. Adakah ini hanya 'kebetulan"? Pada saya, kerana Al-Qur'an diturunkan selama 23 tahun, dan kepada Rasulullah, dari jenis manusia yang punya pasangan 23 kromosom, yang menduduki planet bumi yang condongnya 23 darjah, patutlah kita ucapkan Subhanallah. Ini juga BUKTI KEBENARAN ISLAM.

Tahukah anda bahawa kalau anda hitung jumlah huruf yang boleh mengeja perkataan AL-QUR'AN dalam Al-Fatihah (iaitu huruf Alif, Lam, Qaf, Ra dan Nun) maka jumlahnya BERULANG 66? Tahukah anda jika anda hitung jumlah huruf yang boleh mengeja perkataan IQRA' dalam Al-Fatihah (iaitu Alif, Qaf dan Ra) maka jumlahnya BERULANG 33? Dan tahukah anda jika anda hitung jumlah huruf yang boleh mengeja perkataan BASMALAH dalam Al-Fatihah, maka jumlahnya BERULANG 111? Tahukah anda jika anda hitung jumlah huruf jenis FAWATIH (huruf-huruf rumuz yang ada di awal 29 surah dalam Al-Qur'an) dalam Al-Fatihah maka jumlahnya BERULANG 121? Anda tidak akan tahu sekiranya anda tidak mengkaji. Ini juga BUKTI KEBENARAN ISLAM.

 
Alam ini mempunyai rahsia berpasang-pasang. Ini jelas dinyatakan dalam Surah Yasin 36:36. Anda mungkin nampak bahawa tempat ayat itu pun berpasang 36:36. Maksud ayatnya: "Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."

----------------------------------------------------------------
Perenggan ini telah saya gantikan dengan isi yang baru:

Untuk saudara-saudara kita dari bangsa Cina (yang bukan Islam atau yang beragama Kristian), biasanya di kalangan anda amat meminati angka-angka tertentu mengatasi angka-angka lain (ada yang untuk tujuan suka-suka, ada yang benar-benar percaya). Malah, anda sanggup belanjakan hingga jutaan ringgit semata-mata mahukan nombor plet kereta yang 'cantik' contohnya 8.

Angka 8 jadi 'all-time-favourite' bangsa Cina sebab dipercayai ia ada 'ong'. Sebagai contoh, 8888, 888, 88, 6688, 1168, 168 dan sebagainya. Untuk pengetahuan anda, nama Rasul kami Muhammad s.a.w. berakhir dengan Angka Mufrad 8 (huruf Dal). Dan angka terkecil untuk mewakili nama Rasul kami Muhammad (Mim, Ha, Mim, Dal - Jumlah Mufrad 62) ialah 6+2=8. Pada kami umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi yang 'ong' dunia akhirat, dan kami tak kisah sama ada rahsia nama baginda ada angka 8 ataupun tidak. Tapi untuk anda, mungkin ia boleh jadi bahan renungan.

Saya tidak berniat untuk catat dengan panjang lebar mengenai hal ini, tapi apa yang penting untuk anda ketahui ialah bahawa Al-Qur'an itu penuh dengan RAHSIA BERULANG dan BERPASANG-PASANG dari segi matematik. Jumlah BERULANG seperti 141 itu dapat ditemui di seluruh Al-Qur'an, terutamanya dalam Al-Fatihah. Orang-orang Cina memang minat pada perkiraan. Tuhan kami Allah adalah Maha Penghitung.

Al-Qur'an itu pula AMAT JITU susunan huruf-hurufnya dan ini dapat diketahui menerusi ilmu matematik (ilmu pasti), hinggakan jika anda kurangkan atau tambah satu huruf saja, atau alihkan kedudukan satu huruf saja, sudah dapatlah diketahui (melalui kaedah-kaedah ilmu pasti) bahawa ianya telah anda ubah.

Oleh itu saya berseru kepada bangsa Cina (yang belum Islam) agar mulalah mengkaji agama Islam dan marilah masuk Islam, satu-satunya agama dari sisi Allah.

----------------------------------------------------------------
Allah mencabar seluruh manusia dan jin untuk meniru Al-Qur'an. Sesiapa yang berminat mahu mencuba, cubalah. Itu cabaran dari Allah. Saya minta agar anda cubalah cipta satu surah (satu saja cukuplah) yang dapat menandingi Al-Fatihah itu. Bukankah sekarang ini ada bermacam perisian canggih yang boleh mengira secepat kilat? Cubalah! Saya baru catat sedikit saja bukti-bukti di sini, banyak lagi bukti bahawa Al-Fatihah adalah sebesar-besar surah dalam Al-Qur'an.

Sila baca artikel Dalil Kajian untuk baca maksud ayat-ayat yang menjadi dalil-dalil kepada kajian yang telah saya lakukan. Saya fikir cukuplah dulu apa yang patut saya catat dalam artikel kali ini. InsyaAllah, saya akan sambung lagi.

Wallahua'lam.

p.s: Artikel ini telah di edit semula. Judulnya telah diubah dan satu perenggan dari artikel telah dibuang dan digantikan dengan yang lain. Ini untuk mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul dari kenyataan saya dalam artikel tersebut. Bagi semua yang telah tulis komen untuk artikel ini, saya rakamkan jutaan terima kasih. Namun saya minta maaf kerana terpaksa padamkan komen-komen itu kesemuanya kerana ia merujuk kepada isu yang telah dipadamkan. Ahli yang berkaitan bolehlah tulis komen yang baru, kalau sudi. Harap maklum. 


Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

 

No comments:

Post a Comment