Wednesday, August 10, 2011

HURUF AL-FATIHAH AMAT RAPI

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

HURUF AL-FATIHAH AMAT RAPI
Kali ini saya akan menceritakan sebanyak sedikit berkaitan dengan sejarah saya mengkaji Al-Fatihah dan kemudian satu judul menarik iaitu Al-Fatihah Lebih Dari Lulus 'Ujian Maut'. Ianya menggunakan perkiraan yang agak kompleks tapi tetap menghasilkan FENOMENA BERULANG. Saya harap saudara dapat membaca artikel ini dengan hati yang tenang dan cuba fahamkan mesejnya:

JANGAN BIARKAN ISLAM DIHINA

Sebenarnya saya ada salah satu dari dua opsyen. Pertama, tidak menerbitkan Hasil Kajian saya di Megasutra. Kedua, menerbitkan sebahagian kecil darinya. Bila berlaku kes penghinaan Pope Benedict XVI terhadap Islam, saya rasa terpanggil untuk mendedahkan Hasil Kajian, bukan untuk Pope membacanya (kalau dia baca lagi bagus), tapi agar saudara-saudara kita sesama Muslim membacanya dan mempersiapkan diri jika musuh-musuh kita menyerang kita dari segala sudut.

Saya rasa terpanggil kerana dulunya saya munajat ke hadrat Allah agar Dia tunjukkan BUKTI kebenaran Al-Qur'an pun adalah bersebab daripada cabaran dan tohmahan seorang Pensyarah dari Filipina yang beragama Kristian. Beliau antara lain menuduh dengan katanya "But Muhammad wrote the Koran.." Itu semua sudah berlaku lebih 20 tahun lampau. Kini saya menulis artikel ini untuk berkongsi pengalaman saya dalam mengkaji.

Bermula dari waktu Asar bulan September itu, saya sebenarnya bukanlah merancang apa yang akan saya perhatikan dan 'temui'. Ianya tidak begitu. Katakan pada satu masa itu saya sedang duduk, kemudian saya 'teringat' satu keadaan. Sebagai contoh saya teringatkan ayat: "Dan (demi) bilangan yang genap serta yang ganjil." (Al-Fajr 089:3). Kemudian saya pun 'teringat' untuk memperhatikan Al-Fatihah dari sudut dalil itu. Lantas saya perhatikan apa yang genap dan apa yang ganjil dalam konteks Al-Fatihah dan keseluruhan Al-Qur'an.

Dan mengenai tempoh mengkaji pula, saya tidak lakukan sepanjang tahun. Kecenderungan itu akan jadi kuat bermula bulan September dan berakhir selewat-lewatnya Februari (6 bulan). Itu pun bukan setiap hari pula. Kalau tiba masanya, saya mungkin terjaga sekitar jam 3 atau 4 pagi dan 'teringat' akan sesuatu aspek dari Al-Fatihah. Kemudian saya ambil pen, kertas dan mesin kira (kini saya gunakan komputer) dan terus mengira. Kebiasaannya tidak sukar untuk 'bertemu' jawapannya. Ianya sekadar 5 hingga 10 minit lengkap di dokumenkan. Kemudian saya akan buat kerja-kerja lain yang tiada kaitan dengan kajian.

Yang saya catat di atas adalah kajian dari aspek matematik. Sebenarnya saya selalu baca Al-Qur'an sama ada membaca biasa, membaca berlagu, menghafal surah, meneliti Tafsir, merujuk buku-buku yang ada kaitan dengan Islam dan Kajian Al-Qur'an, berjumpa dengan orang-orang yang lebih faham mengenai agama, dan banyak lagi. Ini saya lakukan sepanjang tahun, bila saja ada kesempatan. Selalu saya anggap bila saya baca akhbar, saya 'baca Al-Qur'an' juga, kerana sesuatu berita itu insyaAllah akan mengingatkan saya mengenai sesuatu ayat Al-Qur'an atau mengenai kebesaran Allah. Kerana itu saya anggap ia 'membaca Al-Qur'an' juga tapi secara tidak langsung. Jangan salah anggap pula bila saya catat ini. Tidak ada satu buku pun yang menyamai Al-Qur'an. Segala yang ditulis oleh tangan-tangan manusia hanya akhirnya akan membuktikan kebenaran Al-Qur'an dan kebenaran Islam walau bagaimana buruk pun catatan atau tulisan itu mengutuk Islam. InsyaAllah.

PENGGUNAAN ANGKA MUFRAD HANYA IBARAT TEROPONG

Saya pernah bertemu seorang Pensyarah wanita Muslim (PhD) membawa kajian saya kira-kira 15 tahun lampau. Dia bertanya saya: "Apa yang awak dapat (dari kajian ini)?". Saya jawab padanya mudah saja: "Inilah yang saya dapat..!". Dia terdiam. Mungkin juga dia harap saya bertemu 'satu tempayan emas' tapi yang saya cari adalah bukti kebenaran (saya sudah catat di atas tadi). Saya sudah dapat apa yang saya cari, tapi pada dia mungkin saya belum dapat apa-apa pun. Dalam pertemuan itu dia juga bertanya kepada saya: "Awak ada ambil Pengajian Islam ke?" (maksud dia adakah saya mengaji secara spesifik di bidang itu). Saya jawab: "Tidak" Kemudian saya sambung lagi "Kalau doktor pun jumpa (fenomena) ini doktor akan kaji juga..". Maksud saya beliau pun bukan bidang Pengajian Islam atau Kajian Al-Qur'an & As-Sunnah atau Usuluddin & Falsafah dan sebagainya lagi. Saya fikir ini bukan soal latarbelakang akademik, ia soal Allah nak tunjukkan atau tidak.

Kenapa saya catat ini semua? Saya bukan minta anda percaya pada apa yang saya dedahkan. Saya pun bukan bawa satu ajaran atau 'cult' yang baru. Saya seru diri saya dan anda juga agar selalu membaca Al-Qur'an dan memperhatikan ayat-ayatnya. Jangan sekali-kali gantikan Basmalah dengan 786 (untuk buat wafak dan sebagainya). Jangan sekali-kali gantikan Al-Qur'an dengan angka-angka. Angka-angka hanya alat untuk memperhati. Contohnya kalau mahu lihat sesuatu benda yang jauh, kita gunakanlah teropong. Tapi teropong tidak boleh menggantikan benda yang jauh itu. Tidak sekali-kali. Jadi saya harap janganlah pula ada yang menulis 141 atau 2323 (kononnya buat wafak) kemudian dia kata "Ini Al-Fatihah". Itu sudah silap lagi sesat.

Satu lagi, saya perhatikan ramai juga orang-orang yang suka bincangkan perkara-perkara pelik seperti "Titik Ba" atau "Huruf Alif Sebelum Ba dalam Basmalah" dan sebagainya lagi. Kononnya ada berbagai falsafah di sebalik benda itu dan hanya diketahui oleh golongan rohaniah. Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan. Saya sudah lama juga mengkaji dan bertanya ramai orang yang tahu. Mereka tidak pernah berkata sebelum Ba dalam Basmalah itu sebenarnya ada Alif tersembunyi.

AL-FATIHAH LEBIH DARI LULUS 'UJIAN MAUT'

Saya ingin kongsikan kepada anda satu BUKTI betapa rapinya susunan huruf-huruf dan ayat-ayat Al-Fatihah itu. Judul ini ada menyebut 'Ujian Maut'. Kenapa? Ini adalah ujian yang 'memerangkap' sekiranya Al-Fatihah itu hanyalah ciptaan Muhammad s.a.w. Saya akan beri penerangan. Saya harap anda baca dengan teliti.

Terdapat 7 huruf yang tidak ada dalam Al-Fatihah. Saya catat ia bersama Angka Mufradnya. Ianya ialah Tsa (4), Jim (5), Kho (7), Zai (11), Syin (13), Dzo (17) dan Fa (20). Saya sudah catat dalam artikel yang lepas bahawa Jumlah Mufradnya BERULANG 77. Kini kita akan buat perkiraan yang kompleks. Jika Al-Fatihah 'lulus' ujian ini, maka tertolaklah tohmahan orang-orang kafir bahawa Al-Qur'an itu ciptaan Muhammad s.a.w. Kita akan lihat pada SIFIR 7 HURUF yang telah disebutkan.

Kita ulangi semua Angka Mufrad 7 Huruf itu hingga mencapai angka 141. Memang ada yang bertindan (overlap) contohnya 140 dilalui oleh Sifir 4, 5, 7 dan 20, maka kita ambil sekali saja Posisi 140. Kemudian kita akan tandakan mana-mana huruf dalam Al-Fatihah itu yang mana POSISInya jatuh ke dalam SIFIR 7 HURUF tersebut. Akhirnya kita akan jumlahkan SEMUA huruf-huruf yang tidak jatuh pada POSISI SIFIR 7 HURUF dan kita lihat keistimewaannya. Saya sertakan JADUAL SIFIR 7 HURUF sebagaimana berikut:
Sila lihat pula imej di bawah ini. Saya telah warnakan merah mana-mana huruf yang POSISInya tidak dilalui langsung oleh SIFIR 7 HURUF sebagaimana di atas. Anda bolehlah menyemak dengan mengira sendiri jika anda tidak percaya:

Apakah keputusannya? Terdapat 58 huruf yang langsung tidak dilalui oleh SIFIR 7 HURUF dan Jumlah Angka Mufradnya BERULANG 939. Tahukah anda bahawa 939 adalah ANGKA BERULANG KE 93? Memang benar, kalau anda senaraikan angka-angka berulang, ia adalah angka berulang ke 93. Apa gunanya saya catat fakta itu? Kalau anda cari POSISI IMPLISIT 939 dalam 141 Huruf, ianya TEPAT JATUH DI POSISI 93.

Tahu bagaimana mengira POSISI IMPLISIT? Caranya, bahagikan 939 dengan 141. Ia akan berbaki 93. Itulah POSISI IMPLISIT. Pada huruf mana ayat mana ianya jatuh? Untuk pengetahuan anda, ianya jatuh TEPAT pada Ayat "Ihdinas siratal mustaqim" iaitu pada HURUF SIN dalam perkataan "al mustaqim". Mengapa saya catat TEPAT? Lihat pada SIN dalam imej di atas. Bukankah ia berwarna merah? Apa ertinya? Maknanya POSISI IMPLISIT 939 iaitu 93 itu TEPAT singgah pada huruf yang MEMANG TIDAK DILALUI OLEH SIFIR 7 HURUF. Subhanallah. Anda pening? Baca berulang kali apa yang saya catat dan cuba fahamkan betul-betul.

Tapi apa jadi pada 58 (jumlah semua huruf yang tidak dilalui oleh SIFIR 7 HURUF). Lihat pula POSISI 58. Ianya jatuh pada Ayat "Malikiyau middin" iaitu YA pada "addin" itu. Dan YA itu juga TEPAT singgah pada huruf yang MEMANG TIDAK DILALUI OLEH SIFIR 7 HURUF. Subhanallah.

KESIMPULAN

Apa maknanya semua ini? Itu maknanya Al-Fatihah telah LEBIH DARI LULUS 'UJIAN MAUT' yang kita lakukan menggunakan SIFIR 7 HURUF. Bukan saja ia menghasilkan jawapan yang BERULANG 939, tapi ia juga dapat menunjukkan bahawa 939 dan 58 itu jatuh pada posisi YANG TIDAK BERCANGGAH dengan apa yang kita kira atau isu yang ingin kita lihat. Subhanallah. Elok saya salinkan mafhum firman Allah:
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya. (Al-Hijr 015:87).
Dan bagi orang-orang kafir, lihatlah dan sedarilah bahawa BUKTI yang terpampang ini bukan 'kebetulan'. Ia BETUL. Terpulanglah kepada mereka sama ada mahu hargai (appreciate) ini ataupun tidak. Cuma kita berharap agar mereka tidak sewenangnya menghina agama Islam setelah BUKTI ini terpampang di depan mata mereka. Mudah-mudahan mereka punya 'second-thought' untuk menerima cahaya keimanan (Islam). InsyaAllah.
Semoga Allah merahmati kita semua. Wassalam.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


No comments:

Post a Comment