Wednesday, August 10, 2011

ORANG GILA JADI BISU

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ORANG GILA JADI BISU

Kajian saya bermula lebih dari 20 tahun lampau atas cabaran seorang pensyarah Kristian dari Filipina. Kini saya kongsikan sekelumit daripada pengalaman saya sendiri (yang banyak kelemahan dan kekurangan ini) sebagai berita baik kepada seluruh umat Islam bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dari sisi Allah. Dan ia saya sebarkan sebagai respon kepada penghinaan Pope Benedict XVI ke atas Islam dan umat Islam. Sebenarnya semua itu hanya menjadi penyebab saja. Saya tidak mampu untuk tulis semua ini tanpa keizinanNya. Kali ini saya paparkan tiga kisah dan saya selitkan topik Bukti Dari Segala Ufuk-Ufuk. Bacalah yang tersurat dan cubalah fahami yang tersirat. Mudah-mudahan Allah akan tambahkan ilmu kepada kita semua.

Mafhum firman Allah:

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu (kerana perbuatan itu ada hikmahnya). Adapun orang-orang yang beriman maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?" Dengan perumpamaan itu ramai orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) ramai orang yang diberiNya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang yang fasik. (Al-Baqarah 002:26).

ORANG GILA JADI BISU

Kira-kira tiga tahun lalu, anak buah saya sedang duduk di kedai saya bersama saya. Sebagaimana biasa, anak buah saya itu berbincang dengan saya banyak perkara mengenai Islam, dan dia selalu menemani saya berceramah ke serata negara. Satu perkara yang perlu saya catat di sini, dia juga selalu membawa Tafsir ke mana-mana, dan selalu membaca Tafsir Al-Qur'an bila saja ada kesempatan. Itu adalah satu perkara yang amat bagus untuk dia lakukan. Beruntunglah kerana ketika itu dia pun masih muda dan masih bujang.

Semasa duduk itu, dia telah membuka Tafsir secara spontan, kemudian dia bacakan ayat-ayat itu pada saya:

"Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?, Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya." (Surah Ali-’Imran 003:40).

"Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung). Allah berfirman: Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi." (Surah Ali-’Imran 003:41).

Saya dan dia pun berbincang mengenai kekuasaan Allah, bahawa Allah berkuasa melakukan apa-apa yang pada adatnya dianggap mustahil oleh manusia. Hinggakan Nabi Zakaria a.s. (seorang nabi) pun bertanya kepada Allah sama ada dia boleh mendapat zuriat atau tidak. Tapi Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Sedangkan Nabi Adam a.s. dijadikanNya tanpa ibu tanpa bapa. Sedangkan Nabi Isa a.s. dijadikanNya tanpa bapa, hanya ada Maryam, seorang gadis suci yang tidak pernah ternoda. Inikan pula jika masih ada ibu dan bapa, ianya amat mudah bagi Allah.

Tidak lama selepas itu, datanglah sepupu saya, Mansur (bukan nama sebenar, dia ini sakit jiwa, sejak berpuluh tahun lampau). Dia datang dari mana tidaklah saya perasan. Dia berdiri di pintu kedai, hampir dengan saya. Kemudian dia pun menggerakkan tangan-tangannya memberi isyarat yang berbagai-bagai. Saya pun tidak faham apa yang dia mahu sampaikan. Sebenarnya Mansur bukan bisu. Setiap kali dia datang jumpa saya, dia akan berkata "Nak duit RM10, aku nak makan." Perkataan itu sudah jadi 'trademark' dia bila saja berjumpa saya. Hinggakan pada satu hari, saya cuba berjenaka padanya. Bila saya nampak saja dia datang, saya pun terus berkata "Ha, eloklah kau datang, beri aku duit RM10, aku nak makan." Dia tergamam, dan pada hari itu dia tidak minta duit pada saya.

Berbalik pada Mansur yang tiba-tiba jadi bisu itu. Saya dan anak buah saya yang memperhatikannya sejak tadi hanya tercengang. Saya pun tidak bercakap sepatah pun, entah kenapa saya pun sukar untuk jelaskan. Kemudian saya pula beri isyarat tangan kepadanya, isyarat bahawa saya tidak faham apa yang dia mahu sampaikan. Dia beri beberapa isyarat lagi, kemudian dia berlalu dari situ. Saya masih tidak faham. Pada hari itu dia langsung tidak berkata "Nak duit RM10, aku nak makan." Malah sekelumit suara pun tidak keluar dari mulutnya.

Setelah dia pergi, saya senyum sambil memperhatikan anak buah saya. Dia terbeliak dan tangannya memberi isyarat tanda dia tidak faham apa yang sedang berlaku. Di masa itu barulah saya berkata kepadanya "Bacalah semula ayat tadi itu. Sebenarnya Allah nak tunjukkan kepada kita bagaimanakah keadaan Nabi Zakaria ketika dia tidak boleh berkata-kata." Anak buah saya pun senyum kembali. Mungkin dia sudah faham.

Benarkah Mansur yang datang tadi? Wallahua'lam. Saya pun tidak periksa atau tanya pada Mansur adakah benar dia yang datang sebagai orang bisu itu sebab bila saja dia jumpa saya, dia akan berkata "Nak duit RM10, aku nak makan." Ini membuatkan saya fikir eloklah saya tidak bertanya. Tapi saya jadikan kisah itu sebagai kisah yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya. InsyaAllah.

BUKTI DARI SEGALA UFUK-UFUK

Bersyukurlah kita jika kita lahir dalam keluarga Islam dan terus hidup sebagai Muslim sejati hingga ke akhir hayat kita. Kalau kita lahir dalam keluarga bukan Islam, mungkin Islam ini agak jauh sedikit dari kita, dan hidayahNya lah yang akan membawa kita kepada Islam. Namun, kalau kita lahir dalam keluarga Islam, janganlah pula kita menjauhkan diri dari Islam itu sendiri, atau menjauhkan diri dari Al-Qur'an. Setiap masa kita perlu ingat pada Allah, setiap masa kita perlu fikir tentang kebesaran Allah dan mengakui kebesaranNya. Mudah-mudahan kita beruntung.

Untuk pembaca-pembaca yang bukan Islam (dan Islam juga), ketahuilah bahawa kebenaran Islam itu semakin akan terserlah, bukan semakin pudar, bukan semakin hilang. Seluruh alam ini, sama ada yang anda nampak atau tidak nampak, adalah ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran) Allah. Semua ini dijadikanNya sebagai bukti kewujudanNya, bukti kebenaran Islam, bukti kebenaran Rasulullah s.a.w. dan bukti kebenaran Al-Qur'an.

Persaksikanlah bahawa semakin hari, akan semakin terserlah kebenaran Islam itu. Bagaimana kita boleh tahu? Kita akan tahu bila kita baca Al-Qur'an dan fahami ayat-ayatnya. Apa yang berlaku pada masa kini pun ada termaktub dalam Al-Qur'an. Kerajaan Rom yang dulunya hebat kemudian dikalahkan oleh Islam pun termaktub dalam Al-Qur'an. Al-Qur'an merentasi semua zaman dan semua dimensi. Malah ia merentasi dunia dan segala isinya hingga ke hari kiamat dan hingga ke alam akhirat. Renungkanlah mafhum firman Allah:

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (segala ufuk-ufuk dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?" (Fussilat 041:53).

PENUMPANG BAHTERA NUH A.S.

Pada satu hari, saya pergi ke Tampin Square, Negeri Sembilan kerana jemputan untuk memberi ceramah kepada para usahawan di sana. Saya ditemani oleh anak buah saya (yang saya ceritakan di atas). Kami sampai ketika para peserta sudah ambil tempat di bilik ceramah itu. Saya lihat bahawa bilik itu agak sempit, dan para peserta nampak seperti bersesak-sesak akibat bilik itu yang kecil dari saiz kebiasaan untuk menempatkan peserta seramai itu. Apa pun, Alhamdulillah sebab sambutan terhadap ceramah itu amat menggalakkan.

Ketika saya lihat bilik itu sempit, saya pun berkata kepada anak buah saya "Macam dalam bahtera Nuh.." Anak buah saya tersenyum saja. Kemudian saya pun beri salam dan mulakan ceramah. Dalam ceramah itu juga saya ada berkata lebihkurang begini: "Agak sempit bilik ini, macam bahtera Nuh, tapi saya harap saudara-saudara dapat bersama-sama saya hingga selesai sesi ceramah ini".

Bila ceramah selesai, saya pun bersalam-salaman dengan para peserta lelaki. Kemudian saya dipersilakan oleh koodinator untuk makan bersama-sama dengan peserta. Senyap-senyap saya berbisik kepada anak buah saya: "Catatkan ini bilik nombor berapa dan ia berada di tingkat berapa bangunan ini". Anaknda saya pun catat, di atas pintu bilik itu ada plastik yang tertulis Bilik 17, dia pula melihat di tingkat mana kami berada. Tingkat 3.

Tafsir yang saya bawa ada dalam kereta. Bila masuk semula ke kereta, anak buah saya, sebagaimana yang memang telah saya duga, mengambil Tafsir itu dan mencari koodinat 17:3. Ia jatuh pada Surah Al-Isra':

"(Iaitu) anak cucu dari orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur." (Surah Al-Isra' 17:3).

Dia bacakan mafhum ayat itu untuk saya dengar. Saya pun, sebagaimana biasa, bertasbih: "Subhanallah." Apa yang berlaku selepas itu tidak penting lagi untuk saya catat di sini.

KISAH BERUK DAN IKAN

Saya dipanggil untuk menjadi motivator kursus usahawan yang diadakan di sebuah hotel di Pangkor selama seminggu. Saya pergi dengan ditemani oleh anak buah saya. Kami sampai di sana pada waktu 'Asar. Setelah solat, kami dan beberapa orang penceramah lain termasuk yang sekarang ini sudah jadi Pengarah pergi ke tepi laut untuk makan malam. Kami pergi awal kerana pada jam 8.30 malam nanti kelas akan dimulakan.

Kami pergi ke sebuah restoran yang sudah dikenali oleh kawan-kawan saya. Restoran itu menyajikan ikan-ikan segar yang dimasak gulai biasa saja, tapi oleh kerana ikan-ikannya segar (ditangkap oleh nelayan dari laut Pangkor) rasanya sungguh enak dan 'manis'. Untuk pengetahuan anda, berhampiran dengan restoran itu ada sebuah masjid, jaraknya hanyalah serantai dua. Kami pun makanlah. Kawan-kawan saya pun memesanlah sepinggan demi sepinggan ikan, untuk diratah sebenarnya, sebab kalau mahu jadi lauk nasi, seekor seorang pun sudah cukup. Tapi kita fahamlah, semuanya lapar-lapar belaka kerana perjalanan jauh dan naik feri pula untuk sampai ke pulau Pangkor.

Kalau anda dapat lihat keadaan di atas meja itu, tahulah anda bahawa banyaknya ikan yang sudah diratah oleh manusia-manusia yang kelaparan ini hinggakan pinggan lauk berlapis-lapis. Kami makan dan makan. Kami nampaklah beberapa lelaki dan kanak-kanak pakai kain dan kopiah atau songkok menuju ke masjid. Waktu maghrib sudah dekat, tapi kami tidak juga berganjak. Tiba-tiba kedengaran azan berkumandang dari masjid. Kawan saya yang kini jadi Pengarah itu pandang saya dan berkata "Kau nak pergi solat (berjemaah di masjid itu) pergilah..!"

Saya menjawab "Tak apalah..!". Saya jawab begitu sebab saya was-was dengan pakaian yang saya pakai itu dari segi kebersihannya. Saya fikir sebelum itu kami akan balik awal (sebelum Maghrib) rupanya santak Maghrib. Saya niat untuk solat di hotel saja, lagipun sebentar lagi kami semua akan balik ke hotel.

Hendak dijadikan cerita, bila saja sampai ke hotel, saya dan anak buah pun solat Maghrib. Selepas solat, saya pun berkata kepada anak buah saya: "Bacalah Tafsir, ada sesuatu untuk kita agaknya tu." Sebagaimana biasa, dia yang memang sudah faham maksud saya lantas mencapai Tafsir dan membuka secara spontan. Surah Al-A'raf:

"Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air, sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik." (Al-A’raf 007:163).

Subhanallah. Saya pun berkata kepada anak buah saya: "Allah tempelak kita (melalui perumpamaan dalam ayat tersebut). Tadi kita lebih utamakan makan dari bersolat." Anak saudara saya pandang saya, tanpa berkata apa-apa.

Renungan: "Pada setiap pandangan mata dan tarikan nafas. Segala-galanya meliputi dalam ilmu Allah."

p.s.: Jangan lupa untuk VOTE artikel ini sebagai tanda sokongan anda agar umat Islam membaca, memperhatikan dan mengkaji Al-Qur'an sesuai dengan kemampuan yang telah Allah beri kepada diri masing-masing. Terima kasih.

p.s.: Mungkin rentetan artikel Hasil Kajian akan berhenti dahulu setakat ini dan insyaAllah ia akan disambung lagi di suatu masa yang akan datang. Harap maklum.


Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


No comments:

Post a Comment