Wednesday, August 10, 2011

JAM 12:12 SURAH 12

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

JAM 12:12 SURAH 12

Sebelum ini saya fikir untuk berhentikan saja siri artikel Hasil Kajian, namun nampaknya sukar untuk saya lakukan perkara itu. Pada tengah malam 27 September 2006, saya mengambil Tafsir untuk dibaca. Saya berniat mahu paparkan ayat-ayat Al-Qur'an di Megasutra kerana saya ingin sambung tulisan saya di bawah siri yang sama. Secara tidak sengaja, saya lihat jam digital di dinding rumah saya, ianya menunjukkan tepat pukul 12:12 malam. Saya pun buka Tafsir.

Tidak perlu dihairankan pada kuasa Allah. Surah yang saya buka ialah Surah Yusuf iaitu Surah 12 (dari sebahagian ayat 41 hingga Ayat 52, Muka 355-356). Di situ ada Judul Kecil yang berbunyi: Takbir Yusuf Tentang Mimpi Raja bermula dari Ayat 43 hingga Ayat 49.

Sebenarnya Surah Yusuf mempunyai jumlah ayat yang BERULANG 111. Ia termasuk golongan surah-surah Makkiyah kerana diturunkan di Makkah sebelum Hijrah. Surah ini dinamakan Surah Yusuf kerana fokus isinya mengenai riwayat Nabi Yusuf a.s. Ia adalah salah satu cerita ghaib yang diwahyukan kepada Muhammad s.a.w. sebagai mukjizat bagi baginda kerana baginda tidak tahu cerita Nabi Yusuf sebelum turunnya Surah ini.

Menurut riwayat Al-Baihaqi dalam kitab Al-Dalail, segolongan orang Yahudi masuk agama Islam sesudah mereka mendengar kisah Nabi Yusuf a.s. kerana ianya menepati cerita-cerita yang mereka sedia ketahui. Dari kisah Yusuf a.s. Nabi Muhammad s.a.w. mengambil pengajaran yang banyak dan merupakan penghibur terhadap baginda dalam menjalankan tugas baginda menyebarkan agama Islam.

Sempena SERUPA ANGKA WAKTU 12:12 malam itu dengan SURAH 12 ini, saya ajak anda semua membaca keseluruhan Surah Yusuf yang berjumlah 111 Ayat. Dalam artikel ini, saya hanya salinkan beberapa ayat di permulaan Surah, tajuk Takbir Yusuf Tentang Mimpi Raja dan ayat terakhir Surah. Ini kerana kalau saya salinkan semua 111 Ayat maka artikel ini akan jadi amat panjang. Sila baca Tafsir anda sendiri dan renungkanlah 'sesuatu' untuk anda semua:

AYAT-AYAT DI AWAL SURAH

Yusuf 012:1. Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.

Yusuf 012:2. Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

Yusuf 012:3. Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.

Yusuf 012:4. (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: ‘Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku’.

Yusuf 012:5. Bapanya berkata:’ Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Yusuf 012:6. Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana’.

TAKBIR YUSUF TENTANG MIMPI RAJA

Yusuf 012:43. Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: ‘Sesungguhnya aku bermimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi’.

Yusuf 012:44. Mereka menjawab: ‘Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu’.

Yusuf 012:45. Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: ‘Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) ‘.

Yusuf 012:46. (Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): ‘Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering, (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya’.

Yusuf 012:47. Yusuf menjawab: ‘Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

Yusuf 012:48. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

Yusuf 012:49. ‘Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)’.

AYAT DI AKHIR SURAH

Yusuf 012:111. Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

ALAM MIMPI ITU TANDA KEKUASAAN ALLAH

Kira-kira satu pertiga dari kehidupan manusia terdedah kepada mimpi. Ia adalah sebahagian dari pengertian kehidupan. Ada yang berpendapat bahawa mimpi hanyalah 'mainan tidur' tapi mimpi orang-orang yang beriman (muqarrab) adalah mimpi yang benar dan boleh ditakbirkan (oleh orang-orang yang Allah beri ilmu) sebagaimana dalam kisah Nabi Yusuf a.s.

Hendaknya kita semua banyakkan mengingati Allah sebelum tidur kerana ia adalah 'kematian kecil'. Semasa tidur 'roh kecil' kita akan keluar dari tubuh badan dan akan pergi ke satu-satu tempat yang telah ditentukan oleh Allah. Di Barat, ianya tergolong dalam pengertian Astral Travel atau Out-of-The-Body-Experience (OOBE). Semasa tidur 'roh kecil' kita sebenarnya telah mengembara di alam ghaib. Itulah antara tanda kebesaran Allah. Hendaknya kita bersyukur bila jaga dari tidur kerana kita telah 'dihidupkan semula' untuk mengembara di alam nyata. Sesungguhnya hidup di dunia ini hanya sementara. Ia hanya satu pengembaraan yang pendek. Akhirat jua yang kekal buat selama-lamanya.

Semoga Allah merahmati kita semua. Wallahua'lam.

p.s: Sejurus selepas saya terbitkan artikel ini, saya lihat di blok Tafsir di Megasutra memaparkan ayat berikut. Saya salinkan ke sini untuk renungan anda semua:

Ar-Rum 030:15. Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman Syurga dalam keadaan bersuka ria.




Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم



No comments:

Post a Comment