Wednesday, August 10, 2011

BASMALAH TURUN KALI KEDUA


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

BASMALAH TURUN KALI KEDUA

Umat Islam amatlah beruntung kerana mereka diberikan kitab Al-Qur'an dari sisi Allah Pencipta sekelian makhluk. Tapi ada sesuatu yang elok kita renungkan. Adakah kita Muslim benar-benar telah membaca Al-Qur'an? Ramai umat Islam yang 'mengaji' Al-Qur'an bukan 'mengkaji' Al-Qur'an. Di Nusantara ini, ramai anak-anak yang telah 'khatam' ketika berusia amat muda (sebelum khatan).

Hendaknya selepas khatam dan khatan semakin membaca Al-Qur'an kerana sebenarnya tiada manusia yang akan 'khatam' baca Al-Qur'an. Tiada manusia yang 'khatam' walaupun satu ayat. Apakah maksud yang saya catat ini? Perlulah kita ULANG-ULANGI baca Al-Qur'an itu dan bila baca Al-Qur'an perlulah baca dengan TELITI (tartil, perlahan-lahan, perhatikan, fikir, kaji, banding, kaitkan). Sekali baca kurang faham, perhati baru lebih faham, di kaji baru nampak, dirujuk baru lebih jelas, berdoa agar Allah tambahkan ilmu kepada kita, praktik baru lebih penghayatan. Ia adalah proses yang berterusan dan di ULANG-ULANG. Al-Qur'an bukan untuk dibaca oleh 'burung kakaktua'.

SELAWAT FATIH

Kali ini sebelum menulis lebih lanjut, saya kongsikan dengan anda Selawat Fatih. Bacalah selalu. Ini adalah antara selawat yang baik untuk diamalkan. Apa faedahnya anda jangan tanya saya. Ikhlaskan diri, baca saja, boleh amalkan sebagai pembuka apa-apa doa:
“Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan penghormatan dan keselamatan dan keberkatan kepada junjungan kami, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang membuka kepada apa yang tertutup dan yang menutup kepada segala yang dahulu. Penolong yang haq dengan haq, yang menunjukkan kepada jalanMu yang lurus, dan limpahkan jua rahmat dan penghormatan kepada keluarga serta para sahabat baginda s.a.w. dengan sebenar-benar nilai dan harga diri baginda s.a.w. yang agung”.

JUMLAH HURUF 121: 1881 JUMLAH MUFRAD

ILMU TELEPORTASI

Orang Islam bukan saja patut 'mengaji' Al-Qur'an tapi 'mengkajinya'. Kini kita dapat lihat bahawa dari segi 'mengaji', umat Nusantara ini boleh dikatakan 'bagus juga', siap berlagu-lagu dan boleh jadi johan antarabangsa. Itu pun baik, bukannya tidak baik. Al-Qur'an bukan hanya patut dibaca oleh Qari dan Qariah atau para hafiz atau warga tua. Al-Qur'an patut berada dalam dada setiap anak muda. Kalau seorang anak muda itu ada sijil kemahiran, diploma, ijazah, sarjana atau doktor falsafah dalam bidang masing-masing, kajilah Al-Qur'an berdasarkan bidang masing-masing itu. Sebagai contoh, mungkin anak muda yang belajar ilmu fizik berminat pada maksud ayat ini yang menyentuh ilmu teleportasi:

"Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam? Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah. Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah. Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian." (An-Naml 027:38-41)

Ada ulama' berpendapat bahawa "seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah" itu adalah menteri kanan kerajaan Sulaiman a.s. yang bernama Saidina Asif bin Barkhiya, dan dia sebenarnya membaca asma' "Ya Hayyu Ya Qayyum" ketika memindahkan istana tersebut. Untuk pengetahuan anda, asma' "Al-Hayyu Al-Qayyum" itu dianggap oleh sesetengah ulama' sebagai Asma' Al-'Azim Al-Husna dan dari sudut perkiraan Angka Mufrad, ianya BERULANG 181. Untuk pengetahuan anda juga, asma' AR-RAHMAN AR-RAHIM yang ada dalam Basmalah itu juga punya Angka Mufrad BERULANG 181. Kenapa saya catat semua ini? Saya catat agar anda kaji.. Berdoalah ke hadrat Allah agar Dia tambahkan lagi kefahaman kita semua mengenai rahsia teleportasi.. InsyaAllah, ilmu ini akan dikurniakanNya kepada hambaNya yang selalu membaca Al-Qur'an dan mengkaji..

MENGUASAI ANGKASA

Islam itu bukan agama mistik. Ia adalah agama teknologi. Ada kemahiran dan teknik yang perlu dimantapkan untuk 'menguasai' sesuatu ilmu pengetahuan, dan apabila disertai doa, insyaAllah ia akan menjadi. Anak-anak muda yang berminat dari segi ilmu peperangan atau pertahanan negara mungkin berminat untuk mengkaji ayat-ayat ini pula:

"Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya)." (Al-Anbiya' 021:81-82)

MEMAHAMI BAHASA BINATANG

Kisah Nabi Sulaiman a.s. pada fikiran saya mempunyai berbagai hikmah pengajaran yang menggalakkan umat Islam agar mengkaji dan menghasilkan teknologi-teknologi baru yang akan mengembalikan umat Islam ke tahap yang sepatutnya:

"Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman. Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan), sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata. Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke ‘Wadi an-Naml’, berkatalah seekor semut: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari. Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah dia dari mereka yang tidak hadir?" (An-Naml 027:15-20)

Dan sebenarnya umat Islam mampu menguasai bahasa binatang dan unggas, kerana ini telah diajarkan oleh Allah dalam Al-Qur'an, iaitu bagaimana burung belatuk berkata-kata kepada Nabi Sulaiman a.s. membawa perkhabaran mengenai Puteri Balqish ratu negeri Saba' (Sheba):

"Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya." (An-Naml 027:22 - sila baca juga Ayat 23-29)

BASMALAH ITU SEBESAR-BESAR AYAT

Kemudian sila perhatikan Basmalah yang termaktub dalam Surat Sulaiman kepada Balqish. Basmalah diturunkan kali kedua untuk umat Muhammad s.a.w. sedang kali pertamanya kepada Sulaiman a.s. Hebatnya Basmalah di zaman Sulaiman a.s. itu diketahui oleh Fir'aun, hinggakan di atas pintu gerbang Fir'aun pun ditulis Basmalah itu (walaupun Fir'aun mendakwa dirinya Tuhan). Mengapa? Kerana Fir'aun pun tahu bahawa dia bukan Tuhan yang sebenar. Fir'aun tahu bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, cuma dia tidak mengaku. Menyedari bahawa Basmalah DIULANG turunnya kepada umat Muhammad s.a.w. tentulah akan mendorong kita mengkaji Basmalah itu dengan terperinci sebab ia mempunyai hikmah dan rahsia yang amat besar dalam usaha menundukkan orang-orang kafir yang memusuhi Islam:

"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah)." (An-Naml 027:30-31)

Kalau anda kenal Sulaiman a.s., tentu anda sedar bahawa baginda dikurniakan oleh Allah kerajaan, ilmu, teknologi dan kekayaan yang amat hebat dan tidak ada lagi manusia yang dikurniakan kelebihan seperti itu sebelumnya mahupun selepasnya. Pada pendapat saya, kurniaan terbesar kepada Sulaiman a.s. ialah ayat Basmalah itu dan segala rahsianya, yang mana dengannya Allah kurniakan pula berbagai kelebihan yang lain itu kepada baginda. Kemudian Basmalah itu DIULANG turunnya untuk umat Muhammad s.a.w. Adakah anda fikir Allah lakukan itu dengan sia-sia? Semoga direnungkan masak-masak.

BASMALAH DALAM AL-FATIHAH

Sebenarnya Islam bukanlah agama mistik (bukan agama sihir). Dalam Al-Qur'an itu sarat mengandungi pengajaran, hikmah dan perumpamaan yang mendorong umat Islam agar membuat kajian lanjut. Basmalah merupakan ayat yang DIULANG turunnya kepada umat Muhammad s.a.w., dan ia adalah salah satu ayat dalam Surah Al-Fatihah. Ada ulama' yang berpendapat bahawa Malaikat Jibril ketika menyampaikan wahyu kali pertama kepada Rasulullah s.a.w. di Gua Hira' itu membawa sebuah lembaran, kemudian menyuruh Rasulullah s.a.w. membacanya. Jibril berkata "Iqra'.." buat pertama kali. Lembaran itu, menurut sebahagian ulama' ialah Surah Al-Fatihah.. Dan mereka berpendapat bahawa Al-Fatihah pun turun BERULANG (dua kali, dan hanya Al-Fatihah turun BERULANG). Pertama kali semasa di Gua Hira' (dalam keadaan sedia tertulis) dan kali keduanya di Mekah (dibacakan oleh Jibril a.s.). Sila rujuk lebih lanjut.

Kalau semua umat Islam bukan saja 'mengaji' Al-Fatihah, bukan saja baca Al-Fatihah dalam solat, bukan saja faham makna setiap ayatnya tapi mengkaji Al-Fatihah dan memperhatikan ayat-ayatnya, umat Islam akan jadi umat yang paling kuat, paling maju, paling kaya, paling digeruni kerana kehebatan mereka. InsyaAllah.

Sekadar untuk renungan:

"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: ‘Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati’. Allah berfirman: ‘Belum yakinkah kamu?’. Ibrahim menjawab: ‘Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)’. Allah berfirman: ‘(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cingcanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): ‘Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bagian dari bagian-bagian itu, kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera’. Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah 002:260)

CUBA FAHAMI YANG TERSIRAT

"Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas. Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?" (Al-A'raf 007:184-185)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, samada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri, kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh), dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat). Katakanlah (wahai Muhammad): Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu, balasan yang menjadi upahku yang sebenar hanyalah dari Allah dan Dia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Katakanlah lagi: Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu (kepada Nabi-nabi pilihanNya) dengan perkara yang benar, Dia sentiasa Mengetahui akan segala perkara yang ghaib. Katakanlah lagi: Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat. Katakanlah lagi: Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku, sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Dekat." (Saba' 034:46-50)

"(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya dan malaikat juga turut menjadi saksi dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini)." (An-Nisa' 004:166)

"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya (Tujuh Dari Yang Berulang) dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya." (Al-Hijr 015:87)

KESIMPULAN

Saya fikir biarlah setakat ini saja rentetan artikel Hasil Kajian ini diterbitkan di Megasutra. Sebenarnya apa yang telah sempat saya catat SUDAH MENCUKUPI untuk menjadi asas-asas untuk kajian lebih lanjut, jika anda mahu mengkaji Al-Qur'an, terutamanya Al-Fatihah. Melalui kesempatan ini juga saya mohon maaf jika ada antara catatan saya menimbulkan sebarang kekeliruan kepada anda. Ingat satu perkara saja: Kembalilah untuk membaca, memahami, memperhatikan, mengkaji dan mempraktikkan Al-Qur'an. Apa yang saya catat (berkaitan kajian Angka Mufrad yang BERULANG) hanyalah salah satu dari lautan mukjizat Al-Qur'an. Selagi Al-Qur'an dibaca dan dikaji oleh umat Islam, selagi itulah faedahnya akan dapat dinikmati oleh umat Islam keseluruhannya.

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-'Alaq 096:1-5)

Semoga Allah merahmati kita semua. Wallahua'lam.


Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

No comments:

Post a Comment