Wednesday, August 10, 2011

HURUF DI POSISI BERULANG & THE GOSPEL OF BARNABAS

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

HURUF DI POSISI BERULANG & THE GOSPEL OF BARNABAS

MENGAPA GOSPEL OF BARNABAS DIKETEPIKAN

Saya catat ini untuk memaklumkan kepada anda bahawa terdapat satu kitab yang dinamakan Gospel of Barnabas yang telah ditulis sendiri oleh salah seorang dari murid Nabi Isa a.s. tetapi kitab ini telah ditolak oleh orang-orang Kristian atas alasan ianya ditulis oleh 'orang Islam'. Sebenarnya kita umat Islam patut tahu sebanyak sedikit sejarah kitab Barnabas dan isinya iaitu pendedahan Barnabas mengenai tipudaya Paul untuk menyesatkan pengikut Isa a.s. ketika itu. Barnabas telah pisahkan dirinya dari Paul dan berpindah ke Cyprus kerana tidak setuju dengan Konsep Triniti iaitu ajaran palsu yang dicipta oleh Paul. Barnabas berpegang teguh kepada Tauhid (keesaan Allah).

Lebih dari 20 tahun lampau, saya telah membeli Gospel of Barnabas dari sebuah kedai buku Muslim. Saya bawa ke pejabat (masa itu saya masih makan gaji). Seorang kawan sepejabat telah ternampak buku itu lantas dia bertanya kepada saya: "Buku apa tu?". Saya pun menjawab "Gospel of Barnabas". Dia nampak terkejut, lalu berkata "Qur'an kau tak baca, Injil pula yang kau nak baca..!". Saya bertanya kembali kepadanya "Mana kau tahu aku tidak baca Al-Qur'an?..". Hendaknya sebagai Muslim kita jangan menuduh saudara seagama dengan kita suatu tuduhan yang melulu sebab tindakan seperti itu tidak banyak membantu diri kita sendiri sebenarnya.

Untuk pengetahuan anda, Gospel of Barnabas mempunyai sejumlah 222 Bab. Saya catatkan Bab 222: "After Jesus had departed, the disciples scattered through the different parts of Israel and of the world, and the truth, hated of Satan, was persecuted, as it always is, by falsehood. For certain evil man, pretending to be disciples, preached that Jesus died and rose not again. Others preached that he really died, but rose again. Others preached, and yet preach, that Jesus is the Son of God, among whom is Paul deceived. But we, as much as I have written, that preach we to those who fear God, that they may be saved in the last day of God's Judgement. Amen." [The Gospel of Barnabas, International Islamic Publishers (Private) Limited. Karachi - Pakistan].

Tentang konsep Triniti ajaran Paul yang ternyata salah itu, Allah telah berfirman maksudnya: "Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga Tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Al-Ma’idah 005:73).

NAMA MUHAMMAD S.A.W. BERULANG 191

Perkara ini telah didedahkan dalam artikel sebelum ini, tapi izinkan saya paparkan sekali lagi agar kita semua dapat meneliti kembali beberapa perkara yang belum saya catat:

Lihat bagaimana nama Rasulullah itu sendiri dapat menunjukkan apa itu satu dan apa itu tiga (sekaligus menolak konsep Triniti). Perhatikan angka 74. Kalau anda darab 3 ia akan jadi 222, SERUPA dengan Jumlah 222 Bab Gospel of Barnabas. Lihat pula angka 47. Jika anda darab 3 ia akan jadi 141, SERUPA dengan Jumlah Huruf Al-Fatihah. Kebetulan? Lihat angka 26 pula. Jika anda darab 3 ia akan jadi 78 iaitu SERUPA dengan Jumlah Bunyi ketika kita membaca Al-Fatihah dan SERUPA pula dengan Jumlah Angka Mufrad perkataan "Amin". Ianya Alif, Mim, Ya, Nun atau 1+24+28+25 = 78. Kebetulan? Saya hanya nyatakan pada anda bahawa ia FENOMENA SERUPA yang dinyatakan dalam Al-Qur'an. (Rujuk Surah Az-Zumar 39:23 - saya ada sertakan di bawah). Kini kita lihat keistimewaan 191. Sila baca seterusnya.

HURUF DI POSISI BERULANG DALAM AL-FATIHAH

Matematik adalah ilmu pasti. Maknanya satu tetap satu, tiga tetap tiga. Mana mungkin satu itu tiga atau tiga itu satu, sama ada di dalam atau di luarnya. Kita tidak boleh berbohong dari segi angka. Di zaman ini kita gunakan Base 10 untuk angka-angka. Ada 9 angka semuanya. Sifar atau zero adalah simbol penggenap. Angka yang kita gunakan sekarang ini dipanggil Al-Arqam Al-Hindiyah dan simbol angka yang kita gunakan sekarang adalah berasal dari simbol angka Arab (Islam), dipanggil Arabic Numerals, bukan angka Roman. Jadi kita gunakanlah apa yang ada sekarang untuk memperhatikan mukjizat Al-Qur'an.

Saya paparkan Surah Al-Fatihah yang menunjukkan huruf-huruf yang berada di POSISI BERULANG. Dalam 141 huruf Al-Fatihah itu, huruf-huruf yang berada di posisi berulang ialah huruf ke 11, 22, 33, 44, 55, 66, 77, 88, 99, 101, 111, 121, 131 dan 141. Jumlah kesemuanya ialah 14 huruf. Kini mungkin anda nampak bahawa angka 141 adalah ANGKA BERULANG KE 14. Tapi itu hanya untuk menambah pengetahuan, bukan apa yang saya ingin fokuskan dalam artikel ini:
TERDAPAT 14 HURUF YANG BERADA DI 14 POSISI BERULANG.
JUMLAH ANGKA MUFRAD 14 HURUF INI BERULANG 191.
IA SERUPA DENGAN JUMLAH ANGKA MUFRAD NAMA RASULULLAH S.A.W.

Lihatlah bahawa Jumlah Mufrad 14 huruf yang berada di POSISI BERULANG dalam 141 huruf Al-Fatihah itu BERULANG 191. Subhanallah. Sekarang anda sudah tahu bahawa ia SERUPA dengan Jumlah Angka Mufrad nama Rasulullah s.a.w. Anda mungkin kata itu 'kebetulan' tapi saya katakan ini FENOMENA SERUPA yang dinyatakan dalam Al-Qur'an:

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang serupa (bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain tentang benarnya dan indahnya), lagi berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara), yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah, Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya." (Az-Zumar 039:23)

Dan mungkin mafhum firman Allah dalam Surah Al-Jin 072:28 ini boleh menjadi bahan renungan kita semua: "Supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya (dengan jagaan mereka) Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna), pada hal Dia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: Satu persatu."

KESIMPULAN

Kalaulah Muhammad s.a.w. mahu dituduh sebagai orang yang mencipta Al-Qur'an, perhatikanlah bukti yang telah terpampang di atas tadi. Mampukah manusia dan jin mencipta satu surah yang setanding dengan Al-Fatihah? Mereka tidak akan mampu, walaupun dihimpunkan seluruh umat manusia dan jin zaman berzaman. Oleh itu, janganlah dituduh Muhammad s.a.w. yang mencipta Al-Qur'an. Sesungguhnya Al-Qur'an itu adalah dari sisi Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Sesungguhnya perjuangan menggunakan pena mampu 'menghidupkan semula hati yang telah mati', insyaAllah. Untuk berjuang dengan pena, kita perlu banyak membaca, mengkaji, serta menggunakan sepenuhnya akal fikiran yang dikurniakanNya kepada kita. Dan sentiasalah kita berdoa kepadaNya: "Ya Allah, tambahkanlah kepadaku ilmu."

Semoga Allah merahmati kita semua. Wallahua'lam.


Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

No comments:

Post a Comment